PEMAIN Kawasaki Frontale Tatsuya Ito tidak gentar walau berdiri sebelah legenda bola sepak dunia Cristiano Ronaldo – malah dia menganggap pengalaman itu bagaikan berada dalam dunia permainan video.
Namun di sebalik aura bintang-bintang Al-Nassr, Ito mempamerkan aksi sebenar di padang apabila menjadi pencetus kemenangan dramatik 3-2 ke atas kelab gergasi Arab Saudi itu dalam separuh akhir Liga Juara-Juara Asia (ACL), awal pagi tadi.
Beraksi di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah, Jeddah, Kawasaki yang dilabel sebagai ‘underdog’ membuka jaringan seawal minit ke-10 hasil voli menakjubkan Ito dari luar kotak penalti – jaringan yang bukan sahaja mendiamkan penyokong tuan rumah, tetapi menaikkan semangat rakan sepasukan.
Meskipun Sadio Mane berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan yang terkena pemain pertahanan lawan, Kawasaki terus memberi tekanan dan kembali mendahului menerusi Yuto Ozeki yang menyambar bola muntah selepas percubaan Ito diselamatkan penjaga gol, Bento.
Aksi cemerlang Ito tidak berhenti di situ. Kepantasan dan ketajamannya terus memberi masalah kepada pertahanan Al-Nassr, sebelum Akihiro Ienaga menambah jaringan ketiga pada minit ke-76.
Gol lewat permainan oleh Aiman Yahya tiga minit sebelum tamat perlawanan memberi sedikit tekanan, namun Kawasaki kekal tenang dan berjaya mengesahkan kemaraan ke pentas final yang akan berlangsung Sabtu ini menentang Al-Ahli.
“Al-Nassr ada Cristiano Ronaldo, Sadio Mane – nama-nama besar. Tapi saya rasa bertuah dapat berada satu padang dengan mereka. Sebelum perlawanan, mereka berdiri sebelah saya… rasa macam dalam video game,” kata Ito selepas perlawanan.
Bagi Ito, kemenangan ini bukan hanya milik Kawasaki, tetapi simbol kebangkitan bola sepak Jepun.
“Kami datang ke sini untuk cipta sejarah. Sekarang kami lakukannya. Harapnya kami boleh menang satu lagi perlawanan dan bawa pulang trofi ke Jepun,” katanya penuh yakin.
Kemenangan ini jelas memberi tamparan hebat kepada Al-Nassr yang diperkuatkan bintang bertaraf dunia, namun membuktikan bahawa semangat berpasukan dan taktikal yang mantap mampu menewaskan sebarang nama besar. Kini, Kawasaki tinggal selangkah lagi untuk mencipta sejarah baharu dalam bola sepak Asia.