KYLIAN Mbappe dijangka akan menjadi individu yang paling diawasi England apabila bertemu Perancis pada suku akhir Piala Dunia 2022.

Bagaimanapun, Adrien Rabiot memberi amaran bahawa kekuatan Les Bleus bukan sahaja bergantung kepada penyerang berusia 23 tahun itu.

“Kami tidak bergantung kepadanya.

“Potensinya sangat mengagumkan dan kami tahu 90 peratus daripada gol mungkin datang daripadanya. Dia sangat pantas, juga mempunyai hantaran yang menakjubkan, tetapi kami juga mempunyai pemain lain yang boleh membuat perubahan di atas padang dengan cara lain.

“Bagaimanapun, kami mempunyai senjata yang hebat seperti Kylian, dan kami tidak akan kehilangannya,” jelas pemain tengah Juventus itu mengenai Mbappe.

Berdasarkan status penjaring terbanyak semasa Piala Dunia 2022 dengan lima gol, wajarlah Mbappe begitu diberi perhatian khusus oleh England. Semua perbincangan mereka pastinya tidak boleh lari daripada memikirkan soal itu sebagaimana The Three Lions bertekad menghentikan peledak Paris Saint-Germain.

ARTIKEL BERKAITAN : Mbappe hanya mahu memenangi Piala Dunia, Kasut Emas cuma bonus

Pun begitu, ia akan menjadi satu kesilapan jika England terlalu fokus kepada Mbappe sahaja. Masih ada Olivier Giroud yang telah menjaringkan tiga gol dan baru mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak Perancis sepanjang zaman.

Kemudian ada Antoine Griezmann, yang memburu gol pertamanya di Qatar selepas golnya menentang Tunisia dibatalkan oleh pengadil, dan Ousmane Dembele, yang telah mencatatkan dua assist setakat ini. Kesepaduan empat di barisan hadapan telah diuji sejak 2018.