PENGENDALI baharu Melaka FC, K.Devan meletakkan sasaran kembali ke Liga Super dalam musim pertamanya bersama skuad Melaka FC yang beraksi di Liga MBSB Bank Championship 2024-25.

Devan yang sebelum ini mengendalikan Negeri Sembilan FC di Liga Super bukanlah calang-calang jurulatih dan mempunyai magisnya tersendiri dan kini diberikan kepercayaan untuk mengemudi Melaka FC.

Dia juga mengakui meskipun mengendalikan pasukan di Liga MBSB Bank Championship, tekanan tetap ada buat dirinya dan mahu memastikan pengalaman yang ada padanya di Liga Super dapat dibawa ke skuad Melaka FC.

Devan mahu kembali ke Liga Super dengan Melaka FC

“Saya mahu kembali ke Liga Super bersama-sama Melaka FC. Ini adalah sasaran peribadi saya dan kini kita sudah memulakan sesi latihan dan kempen pramusim dengan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan.

“Tekanan sudah tentu ada walaupun bermain di liga amatur kerana dalam bola sepak apa pun boleh terjadi dan apa yang penting saya mendapat sokongan penuh dari pengurusan untuk mengendalikan Melaka FC musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Melaka FC bakal bersaing bersama 15 pasukan yang lain dengan perebutan kejuaraan bermula 1 Jun 2024 telah melakukan persiapan pramusim apabila mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan skuad Liga Super.

Melaka FC giat jalani latihan

Untuk musim 2024-25 ini, Devan akan dibantu bekas pemainnya di Petaling Jaya City FC, S.Subramanian sebagai pembantu jurulatih serta Sapian Wahid dan dijangka bakal menjadi salah satu pasukan pilihan.