SELANGOR FC bakal turun beraksi dalam perlawanan penting Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bandaraya esok.

Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menyatakan keyakinan terhadap pasukannya sambil mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan dalam usaha mengejar kejayaan.

Kinoshi menegaskan bahawa pasukannya telah mencapai beberapa keputusan positif tetapi kekal fokus terhadap latihan dan usaha berterusan.

“Kami memperoleh keputusan yang baik, tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Pemain menunjukkan sikap yang sangat baik untuk terus maju.

“Namun, kami perlu bekerja keras dalam latihan untuk memastikan pasukan terus meningkat,” katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

Pengendali dari Jepun ini menekankan kepentingan keserasian antara pemain dengan falsafah pasukan.

“Sebagai sebuah pasukan, kami perlu memahami antara satu sama lain. Pemain perlu memahami gaya permainan dan falsafah saya. Gaya Selangor adalah bermain secara agresif, tidak mudah menyerah, dan bekerja keras. Ini adalah falsafah kami, dan kami sedang berusaha ke arah itu,” jelas Kinoshi.

Dua kemenangan berturut-turut sepanjang bulan ini memberikan motivasi kepada Selangor FC menjelang perlawanan esok. Kinoshi percaya bahawa fokus kepada setiap perlawanan adalah kunci kejayaan.

“Kami perlu menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya tanpa mengira sama ada ia perlawanan Liga Super atau pertandingan lain. Sikap ini akan membantu pasukan mencapai kedudukan yang lebih baik dalam liga,” ujarnya.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Cabaran menentang Penang, Selangor FC berjaya bertahan dengan baik dan mengekang serangan lawan.

Namun, Kinoshi mengakui pasukannya perlu lebih tajam dalam serangan dan mengurangkan peluang lawan mencipta hantaran silang serta bola panjang.

“Kami berjaya bertahan dengan kuat, tetapi masih perlu memperbaiki serangan. Analisis video perlawanan akan membantu kami menyelesaikan kelemahan ini,” tambahnya.

Berkenaan dengan reaksi penyokong, Kinoshi berkata beliau memahami kritikan yang diterima pasukan.

“Saya percaya penyokong menyokong kami sepenuh hati, walaupun kadangkala ada kritikan. Tugas kami adalah memberikan keputusan yang dapat memuaskan hati mereka. Kami akan terus berusaha sehingga mencapai kejayaan yang diharapkan,” katanya.

FOTO : SFC