PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies menganggap pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh, pada Khamis menjanjikan satu perlawanan yang menarik.

Matt yang baru sahaja menamatkan tugasan bersama skuad kebangsaan di Kejohanan Pestabola Merdeka 2023 turut menganggap laluan Perak FC ke separuh akhir adalah sesuatu yang menakjubkan dan dia bersikap berwaspada seandainya diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.

Tempoh rehat kurang 48 jam selepas aksi final menentang Tajikistan agak menganggu fizikalnya yang tampak keletihan namun sebagai pemain profesional, dia bersedia memberi persembahan terbaik jika diturunkan menentang skuad The Bos Gaurus.

“Susah juga kerana perlu alih tumpuan daripada aksi bersama skuad kebangsaan dan kembali ke kelab untuk harungi satu lagi perlawanan yang penting tapi itu sudah lumrah dan saya perlu memberi sepenuh fokus untuk aksi bersama JDT.

“Saya keluar selepas aksi babak pertama kerana merasai sedikit kesakitan termasuk Arif Aiman dan kemungkinan untuk saya beraksi menentang Perak pada Khamis masih 50-50.

“Tapi pada masa yang sama, sebagai pemain profesional perlu bersedia dan harus menukar fokus daripada skuad kebangsaan kepada kelab dan saya tidak berdepan masalah untuk pamer aksi yang konsisten,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.

 

Davies juga berharap pada pertembungan separuh akhir pertama nanti, JDT dapat memperolehi kemenangan bagi membawa pulang bekalan yang selesa untuk aksi kedua di Iskandar Puteri yang dijadual pada 2 November 2023.

Matt juga berkata dia sentiasa yakin dengan kemampuan JDT untuk mengharungi aksi separuh akhir pertama namun mengingatkan rakan sepasukan berjaga-jaga dengan penampilan barisan pemain Perak FC yang dianggap mampu membuat kejutan.

“Sentiasa yakin dengan kemampuan JDT dan berharap kita dapat keputusan yang positif apabila beraksi di tempat lawan kerana pemburuan utama adalah layak ke final bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia musim ini,” jelasnya.

Untuk rekod, dalam dua saingan Liga Super musim ini, JDT tidak berdepan masalah menewaskan Perak FC apabila menang 5-0 di Ipoh ketika dibawah kendalian Lim Teong Kim April lalu sebelum menang dengan jaringan sama di Stadium Sultan Ibrahim pada Ogos dibawah kendalian Yusri Che Lah.