PERMATA Muaythai Selangor, Nur Dhea Salsabila Saifulddin Yusof semakin menyerlah apabila sekali lagi tersenarai mewakili negara, ke Kejohanan Muaythai Remaja Dunia, September depan.
Selepas meraih pengalaman berharga pada kejohanan sama di Bangkok, Thailand tahun lalu, gadis berusia 14 tahun berjiwa kental ini, mahu mendapatkan keputusan lebih baik apabila beraksi di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dari 10 hingga 20 September.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra ini, sentiasa mahu memberikan persembahan terbaik setiap kali memasuki gelanggang, kerana menyedari setiap peluang beraksi amat penting untuk menjadi petinju Muaythai yang bertaraf dunia.
“Pada kejohanan di Bangkok tahun lalu, saya mendapat pengalaman berharga untuk dijadikan panduan di Abu Dhabi nanti.
“Malah, saya meletakkan sasaran untuk berada dalam pasukan Malaysia A dan skuad senior kebangsaan pada Kejohanan Muaythai Senior Dunia di masa hadapan,” kata Dhea.

(Kiri) Dhea ketika menjalani latihan di Persatuan Muaythai Selangor dan (kanan) Dhea ketika menewaskan lawan di gelanggang Muaythai.
Menurutnya, persiapan rapi telah dirancang Persatuan Muaythai Negeri Selangor untuk memastikan petinjunya bersedia menghadapi kalendar kejohanan antarabangsa, sepanjang tahun ini.
Anak sulung daripada tiga beradik ini, mula mewakili pasukan pelapis Selangor pada 2024 dan dijangka terus menjadi tonggak Merah Kuning sehingga Temasya SUKMA 2026.

Dhea tidak melepaskan peluang bergambar bersama idolanya, Khabib Nurmagomedov.
Memiliki rekod tiga kemenangan di peringkat profesional, Dhea yang bernaung di bawah Persatuan Muaythai Negeri Selangor, mahu terus mewakili negara di peringkat remaja. Untuk rekod, Dhea muncul juara Piala Majlis Sukan Wilayah Persekutuan kategori Profesional 45 kilogram (kg) pada Kejohanan KL Fight Muaythai Challenge 2025 baru-baru ini.