IMPIAN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memiliki sebuah kompleks untuk dijadikan akademi sepak takraw sendiri, semakin menjadi kenyataan setelah Institut Sukan Negara (ISN) bersetuju menyerahkan Stadium Jalan Raja Muda, kepada badan induk sukan tradisi negara itu.
Pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Isnin lalu, menjadi langkah permulaan selepas kompleks sukan di Kampung Baru itu, diserahkan kepada PSM.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan bersama delegasi PSM dan wakil Majlis Sukan Negara (MSN), mengadakan lawatan ke kompleks sukan itu pada Khamis, sebagai tinjauan awal sebelum membuat perancangan penambahbaikan mahupun baik pulih yang diperlukan.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan meninjau gelanggang futsal di kompleks Stadium Jalan Raja Muda, yang bakal ditukar kepada gelanggang sepak takraw.
“Banyak kerja naik taraf perlu dilakukan bagi mewujudkan fasiliti terbaik,” kata Sumali.
Menurutnya, beliau sudahpun memiliki satu nama baharu bagi menggantikan nama Stadium Jalan Raja Muda, iaitu Home of World Sepak Takraw, bersesuaian dengan wawasannya menjadikan akademi terbabit bertaraf antarabangsa.
“Alhamdulillah kita dapat kompleks ini daripada ISN dan hari ini (Khamis) kita membuat lawatan tapak. Ianya adalah untuk meninjau apakah yang perlu diperbaiki atau ditambah baik.
“Kita perlu fikirkan bagaimana mahu bangunkan tempat ini bersesuaian dengan apa yang dimahukan, namun ia bergantung juga pada bajet.”

Institut Sukan Negara (ISN) bersetuju menyerahkan Stadium Jalan Raja Muda kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) secara sewaan selama 9 tahun.

Kunjungan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan ke Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Isnin lalu, untuk meneruskan perbincangan mengenai pembangunan Akademi Sepak takraw Malaysia.
Selepas lawatan itu, beliau mahu mengutarakan beberapa aspek yang perlu diberi keutamaan seperti dewan perlawanan, bilik penginapan atlet serta kelengkapan-kelengkapan sukan.
Bagi memastikan kompleks itu benar-benar bersedia sepenuhnya, beliau menjelaskan pihaknya mungkin memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk menjalankan kerja-kerja naik taraf.
Difahamkan, kompleks tersebut akan diserahkan secara rasmi kepada PSM bermula 1 April depan dengan kontrak sewa selama sembilan tahun, sekali gus bakal menjadi ‘rumah’ baharu buat pasukan sepak takraw negara.
Katanya, PSM akan berusaha memberi nyawa baharu kepada kompleks sukan itu termasuk padang bola sepak.