MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom akhirnya menamatkan penantiannya untuk kemasyhuran apabila meraih kemenangan pertamanya dalam acara keirin di kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, awal pagi tadi.
Meskipun masih bergelut dengan kecederaan lutut kanan, pelumba berusia 30 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga, melakukan pecutan luar biasa untuk memintas pesaingnya hanya beberapa meter sebelum garisan penamat di Velodrom Konya.
Kejayaan ini bukan sekadar pingat emas pertama Shah Firdaus dalam kejohanan anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), tetapi juga pencapaian terbesar dalam kariernya setakat ini.
Di tempat kedua, pelumba Perancis yang juga bekas pemenang gangsa Olimpik dalam acara pecut berpasukan, Sebastien Vigier, terpaksa akur dengan kehebatan Shah Firdaus, manakala juara Asia dari Jepun, Shinji Nakano, membawa pulang gangsa.