BEREGU pilihan negara menepati ramalan setelah berjaya menundukkan lawan masing-masing dalam aksi pusingan kedua Masters Malaysia 2022 yang berlangsung di Axiata Arena.

Pasangan kelapan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menganggap punca kejayaannya adalah disebabkan ketenangan yang dimiliki semasa menentang pasangan dari Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang dengan kemenangan 21-18 21-18.

“Saya rasa permainan hari ini, kita main lebih santai, lebih seronok sikit, lebih sabar. Sekarang kita kena cari solusi untuk selesaikan masalah ini,” ujar pasangan beregu itu.

Sementara itu, aksi beregu wanita pula memperlihatkan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan terus mengukir senyuman di bibir peminat badminton tanah air apabila turut unggul dengan kemenangan 21-14 21-19, menyingkirkan pilihan kedua dunia dari Jepun, Yuki Fukushima- Sayaka Hirota.

“Kita gembira dengan kemenangan hari ini,  ia sangat membantu menaikkan keyakinan dan motivasi kami.

“Juga terima kasih kepada semua penyokong kerana terus memberi sokongan kepada kami tetapi masih ada ruang yang perlu kami perbaiki untuk perlawanan esok,” kata mereka kepada media.

Turut mara adalah gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie, dan kejutan dari beregu muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal layak ke suku akhir setelah menewaskan rakan senegara.

Bagaimanapun, malang menimpa gandingan berpengalaman Low Juan Shen-Goh V Shem setelah V Shem disyaki positif Covid-19 sekaligus terpaksa mengibar bendera putih untuk kejohanan kali ini.