TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, menzahirkan penghargaan kepada pasukan Todak E-Sport atas pelancaran kedai baharu mereka di Shah Alam pada Sabtu.
Majlis tersebut menjadi satu lagi bukti komitmen Todak dalam memperkasakan industri e-sukan tempatan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Todak atas usaha mereka dan berharap agar langkah yang dimulakan ini mampu membawa manfaat jangka panjang, terutama dari segi impak ekonomi kepada kumpulan e-sukan tersebut.
Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini industri e-sukan, Adam menyatakan bahawa sektor ini masih berada di landasan yang betul.
“Alhamdulillah, pembangunan e-sukan tidak hanya bergantung kepada apa yang dimulakan oleh kerajaan.
“Walaupun kita boleh mencipta platform, apa yang lebih penting adalah pemain-pemain kita bersedia untuk bersaing.
“Kita boleh lihat bagaimana persaingan semakin sengit di kalangan komuniti e-sukan di negara ini,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia kini menjadi salah satu hab penting dalam pembangunan e-sukan, terutamanya dalam permainan mudah alih yang semakin popular kerana kemudahannya.
“Kita tahu bahawa negara kita lebih banyak memberi tumpuan kepada permainan mudah alih. Namun, apa yang dahulunya hanya dilihat sebagai sub-rantau, kini telah berkembang ke rantau lain, termasuk Eropah.
“Sebagai salah satu negara pertama yang menyambut baik permainan mudah alih, ia membuka banyak peluang kepada pemain industri tempatan seperti Todak,” katanya lagi.
Justeru, beliau juga memuji evolusi pasukan Todak yang berkembang daripada rumah permainan kepada sebuah jenama gaya hidup dan budaya, malah kini melangkah ke pembinaan permainan mereka sendiri.
Berhubung dengan sokongan kerajaan, beliau menjelaskan bahawa meskipun terdapat elemen kebergantungan dalam sektor ini, kerajaan tetap memainkan peranan strategik untuk membantu perkembangan industri e-sukan.
“Kerajaan sentiasa menyokong mana-mana industri yang menjanjikan pulangan yang baik sama ada dari sudut pemain mahupun impak ekonomn industri sendiri.
“Sebagai contoh, untuk tahun 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta, sebahagian kecilnya adalah digunakan untuk dana pembangunan sukan dan sebahagiannya lagi akan digunakan untuk dana infrastruktur serta ekosistem,” tambahnya.