MATA penuh pada dua perlawanan pertama kumpulan B, menjadi matlamat utama Speedy Tiger dalam merealisasikan matlamat ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH, yang akan bermula 15 hingga 21 Jun ini.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh berkata, perlawanan persahabatan terakhir menentang Wales yang dijadual lusa (Jumaat) bakal menjadi persiapan terakhir untuk pemain mendapatkan “feeling” kejohanan dan untuk beliau merencanakan strategi yang bakal digunakan menghadapi tiga perlawanan peringkat kumpulan.

“Kalau kita mahukan laluan yang lebih mudah, dua perlawanan pertama perlu menang dan secara automatik kita layak ke separuh akhir, tapi ia tidak semudah itu kerana semua pasukan yang datang mahu ke separuh akhir,” kata Sarjit, ditemui pada majlis memperkenal kenderaan rasmi kejohanan di Bermaz Auto Berhad, Glenmarie.

Beliau berkata, semua 20 pemain akan diturunkan menentang Wales pada jam 5 petang di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Jumaat ini, sebagai medan pemanas badan dan mencuba taktikal yang akan digunakan pada kejohanan sebenar.

Timbalan Presiden KHM Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak (dua dari kanan), mewakili KHM menerima tajaan 10 kenderaan yang akan digunakan pegawai kejohanan Piala Negara-Negara FIH, daripada Bermaz Auto Berhad.

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerima 10 buah kereta jenama Mazda untuk kegunaan pegawai perlawanan kejohanan Piala Negara-Negara tersebut.

Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan sementara Kumpulan A dihuni Afrika Selatan, Perancis, Korea Selatan dan Wales.

Speedy Tiger akan memulakan kempen menentang Pakistan (15 Jun), New Zealand (16 Jun) dan Jepun (18 Jun) dengan misi berada di dua kedudukan teratas kumpulan.