JURULATIH Skuad Bolasepak Wanita Chelsea FC, Emma Hayes terpaksa melarikan fokusnya seketika dalam mengendalikan pasukan tersebut setelah dalam proses pemulihan Hysterectomy.

Jelasnya, dia terpaksa menjalani pembedahan minggu lalu setelah bergelut dengan penyakit tersebut.

Dalam satu kenyataan, Hayes tampil memberitahu penyokong untuk bersabar kerana perjuangannya ini memerlukan masa dan keringat untuk menempuhinya.

“Saya tahu anda menghormati keadaan saya dan kali ini saya harus beri keutamaan kepada kesihatan saya dahulu.

“Kepada semua penyokong, sebelum ini anda selalu mendengarkan jeritan saya di padang, kini saya mahu dengar sorakan anda lebih kuat di stadium kerana saya bakal memerhati menerusi televisyen di rumah,” ujarnya.

Sementara itu, penderitaan pengendali berusia 45 tahun itu turut mendapat reaksi dari Pengurus Bolasepak Wanita Arsenal, Jonas Eidevall yang turut menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa Hayes.

Untuk rekod, Emma Hayes telah memberi sinar baharu buat skuad Chelsea sejak dilantik pada 2012. Musim ini, The Blues sudahpun melakar dua kemenangan dalam tiga pertemuan aksi Liga Super Wanita (WSL) dan akan berdepan Everton Ahad ini.