MALAYSIA mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi negara pertama di dunia menggunakan teknologi data berasaskan Formula 1 dalam latihan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai.
Teknologi berkenaan, dibangunkan syarikat Racelogic dari United Kingdom, kini dipasang sepenuhnya di velodrom dan mampu merekod data secara terperinci melibatkan aspek kedudukan pelumba, rintangan udara serta prestasi keseluruhan dalam setiap kayuhan.

Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley berkata, pemasangan teknologi itu menjadi keutamaan dalam menghasilkan prestasi maksimum pelumba trek.
“Kalau tengok di dinding velodrom, anda akan nampak alat seperti pemancar — itu sistem Racelogic. Ia ciptaan jurutera yang biasa uji aerodinamik untuk kereta Formula 1. Sekarang, kita guna untuk basikal trek,” kata Beasley, ditemui baru-baru ini.
Menurut beliau, sistem itu bukan saja merekod data kelajuan, malah mampu kesan perubahan rintangan udara sekecil menukar topi keledar — sesuatu yang sebelum ini mustahil dikesan dengan mata kasar atau alat biasa.

“Data yang kita dapat sangat menakjubkan, malah agak ‘gila’. Sekarang cabaran kami ialah untuk latih jurulatih dan pasukan teknikal faham dan gunakan data ini sepenuhnya,” katanya dengan nada yakin.
Penggunaan teknologi berasaskan sains dan data semakin menjadi senjata utama negara gergasi berbasikal dunia dalam memburu kelebihan kecil yang mampu beri impak besar, terutama di trek yang memerlukan ketepatan masa hingga ke seperseratus saat.

Dengan pelaksanaan teknologi baharu ini, Malaysia kini dilihat berada di landasan tepat untuk bersaing di pentas lebih tinggi menjelang Olimpik Los Angeles 2028, sekali gus memberi harapan besar buat pelumba elit negara seperti Mohamad Shah Firdaus Sahrom, Mohamad Ridwan Sahrom, Mohd Fadhil Zonis, Nurul Izzah Izzati dan tidak ketinggalan Datuk Azizulhasni Awang serta rakan sepasukan lain.