James Milner mengukir sejarah bola sepak England apabila mencatat penampilan ke-654 Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika membantu Brighton & Hove Albion menewaskan Brentford 2-0.

Pemain berusia 40 tahun itu memintas rekod 653 penampilan milik Gareth Barry, sekali gus muncul pemain dengan penampilan terbanyak dalam sejarah liga.

Milner bagaimanapun menegaskan keutamaan tetap kepada pasukan selepas Brighton menamatkan kemarau enam perlawanan tanpa kemenangan dan naik ke tangga ke-12 carta.

“Bagus dapat lepasi angka itu, tetapi yang lebih penting ialah kemenangan. Sesiapa yang mengenali saya tahu ini soal pasukan,” kata Milner.

Milner yang membuat penampilan sulung liga pada usia 16 tahun bersama Leeds United pada tahun 2002, turut beraksi bersama Newcastle United, Aston Villa, Manchester City dan Liverpool sepanjang karier lebih dua dekad yang dihiasi trofi.

Pada aksi berkenaan, Milner diturunkan di bahagian tengah dan memakai but khas tertera angka “654” di belakang sebagai simbolik pencapaiannya.

Beliau dikeluarkan pada minit ke-89 dan menerima tepukan gemuruh kedua-dua penyokong.

Selain Milner, hanya Ryan Giggs (632) dan Frank Lampard (609) melepasi 600 penampilan dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Milner yang menyambung kontrak setahun bersama Brighton pada Jun lalu sudah membuat 16 penampilan liga musim ini dan menegaskan akan terus berusaha selagi termampu meskipun pernah bergelut dengan kecederaan panjang musim lalu. – REUTERS