TUNANG kepada bintang sukan hoki ais Adam Johnson, Ryan Wolfe dipanggil untuk proses pengecaman mayat kekasihnya yang maut dalam kemalangan sukan hoki ais pada Sabtu.

Penyerang Nottingham Panthers yang berusia 29 tahun itu terbunuh dalam kemalangan tragik selepas bertembung dengan saingannya, Matt Petgrave ketika perlawanan berlangsung.

Kira-kira 8,000 penyokong menyaksikan detik-detik Johnson yang cedera terkena bilah kasut luncur semasa perlawanan Nottingham Panthers dengan Sheffield Steelers yang berlangsung di Utilita Arena Sheffield, kelmarin.

Dalam inkues ke atas kematiannya, tunangnya didapati melakukan proses pengesahan mayat selepas Johnson disahkan meninggal dunia di hospital pada hari yang sama. Tiada punca kematian didedahkan semasa perbicaraan ringkas diadakan di Sheffield namun Koroner Sheffield, Tanyka Rawden, mengatakan Johnson mengalami “kecederaan serius”.

Image

Difahamkan, inkues penuh ke atas insiden menyayat hati itu ditangguhkan sehingga 26 Januari 2024, sementara siasatan ke atas kematiannya masih diteruskan.

Pihak polis memaklumkan bahawa siasatan akan mengambil “sedikit masa” kerana mereka akan terus meniliti rakaman insiden yang berlaku. Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video dipercayai bilah kasut Petgrave yang terkena leher Johnson ketika perlawanan berlangsung.

Pada masa yang sama, ahli keluarga Johnson berpendapat bahawa pergerakan Petgrave ketika perlawanan adalah ‘melulu’. Ibu saudara Johnson, Kari Johnson, 62 berkata mereka mahu menuntut keadilan buat Johnson.

Pasukan hoki ais Pittsburg Penguin memberi penghormatan kepada bekas pemain itu selepas pemergiannya dengan melakukan senyap seminit pada Isnin

Ryan Wolfe dikatakan telah bertunang dengan Johnson pada musim panas yang lalu. Beliau bagaimanapun telah memuat naik gambar tunangnya pada Isnin di platform Instagram dengan kapsyen “Saya akan merindui awak selamanya dan akan sentiasa menyayangi awak”.