KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim mengakui seluruh pasukan perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan 4-2 menentang Lion City Sailors (LCS) dalam aksi kedua Kumpulan G Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium Bishan, malam tadi.

The Red Giants gagal membawa pulang sebarang mata sekali gus kekal di tangga keempat kumpulan tanpa sebarang kutipan selepas dua perlawanan. Faisal mengakui Selangor beraksi baik, namun kesilapan mudah memberi ruang buat tuan rumah untuk menghukum mereka.

“Kami bermain dengan baik, tetapi kami melepaskan gol mudah. Kesilapan kecil di peringkat tertinggi seperti ini tidak boleh berlaku kerana lawan pasti menghukum,” katanya selepas perlawanan.

Faisal menegaskan semua pemain perlu menilai prestasi masing-masing dan menjadikan kekalahan ini sebagai pengajaran penting sebelum menghadapi perlawanan seterusnya. “Setiap orang dalam pasukan perlu ambil tanggungjawab. Kita ada masa untuk memperbaiki kelemahan dan bersedia bagi aksi selepas ini,” tambahnya.

Bintang kebangsaan itu turut meluahkan rasa kecewa kepada penyokong setia Selangor yang sanggup meredah hujan serta hadir memberi sokongan di Singapura, namun berjanji pasukan akan bangkit. “Terima kasih kepada penyokong yang hadir. Kami minta maaf kerana gagal memberi keputusan terbaik. Tapi kami janji akan bangkit, berikan segalanya dan berjuang untuk kelab serta peminat,” katanya.

Selangor dijadualkan kembali ke saingan tempatan menentang Imigresen FC pada 5 Oktober ini sebagai persiapan sebelum meneruskan cabaran ACL2.