MUHAMMAD Nur Aiman Rosli hampir menghadiahkan kegembiraan buat peminat tempatan apabila mendahului hampir keseluruhan perlumbaan Peringkat 4, Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25), namun gagal mempertahankan kayuhan solo apabila ditangkap peloton di empat kilometer terakhir.
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu mempamerkan kayuhan berani selepas melakukan pemecahan awal bersama dua pelumba lain, malah berjaya menyapu dua zon pecutan di Marang dan Paka.

Aiman bersama dua pagi pelumba memimpin kumpulan pemecahan di hadapan.
Ketika rakan pemecahan mula mengendurkan kayuhan, Aiman memilih untuk terus berkayuh solo hingga ke Kijal, sebelum akhirnya dihampiri dan dipintas kumpulan besar yang diketuai Astana serta Uno-X Mobility.
“Belum ada rezeki, tetapi saya sudah mencuba sebaik mungkin hari ini. Saya akan terus mencuba pada peringkat-peringkat seterusnya,” katanya yang tetap berbangga apabila dinobatkan sebagai Pelumba Paling Kombatif.
Sementara itu, kemenangan peringkat 4 menjadi milik Matteo Malucelli dari XDS-Astana yang mencatat hatrik selepas turut menguasai Peringkat 1 dan 3 sebelum ini.

Garisan penamat sentiasa dinantikan dengan aksi dramatik.
Pelumba Itali itu menyempurnakan henjutan 200 meter terakhir dengan bantuan rakan sepasukan untuk menewaskan Manuel Penalver (Polti VisitMalta) dan Erlend Blikra (Uno-X Mobility).
“Ia satu perasaan yang mengkagumkan, seolah-olah ia meneruskan persembahan baik pada tahun lalu… saya membuat pecutan yang sempurna pada 200 meter terakhir,” kata Malucelli yang terus menyarung jersi hijau keseluruhan serta jersi oren Raja Pecut.
Saingan bakal menjadi lebih getir pada Peringkat 5 sejauh 123.1km dari Temerloh ke Bukit Fraser esok, dengan pendakian penamat Kategori 1 dijangka mengubah landskap perebutan jersi utama.