KEHADIRAN Faisal Halim ke dalam skuad Selangor FC dilihat sebagai tonik tambahan bagi mengharungi musim baharu Liga Malaysia yang akan bermula pada tahun hadapan.
Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, kemunculan Faisal tepat pada masanya bagi membantu Tan Cheng Hoe menyusun membentuk kombinasi mantap di posisi hadapan Merah Kuning.
“Sudah tentu kehadirannya akan memberi tonik tambahan buat pasukan selangor musim depan kerana kita sudah tahu Cheng Hoe hadir hanya beberapa bulan sahaja melatih pasukan Selangor.
“Ia termasuklah sehingga berjaya membawa Selangor ke final Piala Malaysia dengan pemain yang sedia ada.
“Apabila Faisal Halim hadir ini amat amat memberikan kelebihan kepada bahagian serangan selangor musim depan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : EKSKLUSIF : Mickey mahu bawa Merah Kuning ke Asia
Faisal merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor membawa masuk V Ruventhiran dan Khuzaimi Piee baru-baru ini.
Prestasinya yang memuncak membolehkan pemain licik ini mendapat panggilan pasukan utama Harimau Malaya untuk kali pertama pada tahun 2019 dan menjadi pemain regular sehingga kini dan telah dilantik sebagai salah seorang kapten pasukan negara.
Dia turut menjaringkan gol kemenangan untuk pasukan kebangsaan menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada Rabu.
“Saya yakin bukan sahaja Faisal tapi mungkin coach Cheng Hoe sedang membawa pemain import yang berkualiti untuk merealisasikan impian mara ke Asia 2024,” ujar Mohd Faizal lagi.