PEMERHATI sukan tanah air, Datuk Christopher Raj menyifatkan hukuman FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan sebagai “detik hitam” buat bola sepak negara, sambil menegaskan FAM perlu segera membina pasukan undang-undang yang mantap untuk menghadapi prosiding rayuan.

Menurutnya, tindakan segera membentuk barisan peguam pakar, sama ada hari ini atau selewat-lewatnya esok, amat penting kerana kes ini berdepan dengan jawatankuasa FIFA yang dipenuhi individu berpengalaman luas dalam bidang undang-undang.

“Ini adalah detik hitam buat bola sepak negara. Tetapi pada masa sama, FAM perlu segera membentuk pasukan undang-undang yang kuat, dengan penglibatan pakar perundangan untuk mengendalikan kes ini,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar FAM tidak hanya bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertibnya, tetapi turut mendapatkan pandangan serta bantuan daripada pakar luar bagi memperkukuh rayuan dan juga kemungkinan tindakan undang-undang terhadap FIFA.

Beliau menekankan bahawa ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA bukan sekadar bekas pemain, tetapi kebanyakannya terdiri daripada bekas peguam dari negara-negara Eropah yang sudah lama berkecimpung dalam arena perundangan sukan.

“Majoriti mereka adalah bekas peguam dengan pengalaman bertahun-tahun. Jadi, FAM tidak boleh memandang ringan kepakaran yang dimiliki oleh pihak lawan dalam prosiding ini,” tambahnya.

Situasi ini sekali lagi menegaskan kepentingan FAM untuk bergerak pantas, kerana tempoh 10 hari yang diberikan FIFA untuk mengemukakan rayuan rasmi bukan sahaja singkat, tetapi juga kritikal dalam menentukan masa depan tujuh tonggak Harimau Malaya yang kini digantung.

Apa yang pasti, harapan peminat kini bertumpu pada keupayaan FAM untuk menampilkan strategi perundangan yang kukuh, bukan sahaja demi membela maruah bola sepak Malaysia, tetapi juga memastikan skuad negara tidak terus tenggelam dalam kemelut yang mencalar imej di pentas antarabangsa.