PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah mencalonkan enam nama baru pemain bertaraf kebangsaan kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bagi mengisi skuad ASEAN All-Stars yang akan berdepan Manchester United dalam aksi persahabatan mega pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Langkah itu diambil susulan tonggak Harimau Malaya, Dominic Tan dan Sergio Aguero, tidak mendapat pelepasan kerana terikat dengan kem latihan pusat skuad negara bermula 16 Mei, sebagai persiapan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.
Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, berkata senarai baharu yang dihantar terdiri daripada pemain yang telah menyarung jersi kebangsaan sebelum ini.
“FAM sudah mencadangkan enam nama untuk menggantikan pemain-pemain tersebut. Kesemua mereka bertaraf kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, tiga pemain Malaysia – Dominic, Aguero dan penjaga gol Perak FC Muhammad Haziq Nadzli – telah dipilih menyertai skuad ASEAN All-Stars yang dikendalikan oleh Kim Sang Sik.
Namun kini, peminat menanti pengesahan nama baharu dari AFF untuk melihat siapa yang bakal berpeluang beraksi menentang juara 13 kali Liga Perdana Inggeris itu yang kembali ke Malaysia selepas 15 tahun.
Untuk rekod, perlawanan pada 28 Mei ini mendapat sambutan luar biasa dengan hampir 45,000 tiket sudah terjual, menjadikan ia antara acara bola sepak paling dinanti tahun ini.