SUKAN Bola sepak Malaysia terus memperkukuh ekosistem profesionalnya apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kronos Malaysia mengumumkan pembaharuan perjanjian penajaan bagi tempoh 2025 hingga 2027, meneruskan kerjasama strategik yang telah terjalin sejak 2019.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung penuh simbolik di Hotel Concorde Shah Alam pada petang Rabu, menampilkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman dan Pengurus Besar Paragon Vest Sdn Bhd, Encik Vincent Lai Wai Onn selaku wakil rasmi kedua-dua pihak.

Lebih menarik, dua jersi baharu rasmi pengadil bagi saingan Liga Malaysia 2025/2026 turut dilancarkan dalam acara berkenaan. Rekaan baharu itu tampil lebih segar dengan pengenalan dua warna baharu, sekali gus memberi imej lebih dinamik kepada para pengadil tempatan. Fabrik digunakan pula dibina dengan teknologi ringan, bernafas serta potongan ergonomik untuk keselesaan optimum semasa bertugas di padang.

Exco FAM, Datuk Haji Mohd Hisamudin Yahaya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM menyifatkan perjanjian ini sebagai bukti komitmen bersama untuk membina sebuah sistem kepengadilan bola sepak yang lebih profesional dan mampan. Malah, beliau percaya ia akan membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh institusi pengadilan tempatan, selari dengan aspirasi ke arah kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Encik Vincent Lai turut menyatakan keyakinan berterusan terhadap usaha FAM dalam memperkasa mutu pengadilan, selain melihat kerjasama ini sebagai peluang strategik untuk mengukuhkan lagi jenama Kronos di Malaysia.

Dengan pembaharuan ini, FAM dan Kronos bukan sekadar mengekalkan penampilan pengadil yang berkualiti, tetapi turut menyalakan semangat baharu dalam usaha memartabatkan standard bola sepak tanah air dari segenap aspek.

 

FOTO:FAM