LEE Zii Jia mengakui prestasinya meningkat di Terbuka India berbanding Terbuka Malaysia minggu lalu meskipun tersingkir seawal pusingan pertama.

Bekas juara All England itu tewas kepada wakil Denmark, Rasmus Gemke, 13-21, 21-18, 18-21 dalam pertarungan sengit selama 62 minit di New Delhi.

Zii Jia berkata terdapat perkembangan positif yang jelas jika dibandingkan dengan persembahannya di Kuala Lumpur sebelum ini.

“Berdasarkan apa yang saya lakukan di Terbuka Malaysia dan perlawanan hari ini, saya rasa terdapat banyak peningkatan,” katanya.

Menurutnya, proses pemulihan daripada kecederaan masih menjadi cabaran besar namun keadaannya semakin menunjukkan tanda positif.

Zii Jia mengakui kekalahan itu mengecewakan kerana dia amat memerlukan kemenangan bagi membina semula keyakinan diri.

“Saya mahu menang, tetapi nampaknya ia masih belum mencukupi di set ketiga dan saya perlu menerimanya,” katanya kepada Peraekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berusia 28 tahun itu kini mengalihkan fokus ke Masters Indonesia minggu depan dengan sasaran mendapatkan semula momentum dan kembali ke kelompok 20 terbaik dunia menjelang akhir musim.