PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman mengesahkan bahawa pihak mereka sudah diberikan taklimat dan pembentangan daripada penyedia sistem video bantuan pengadil (VAR).
Noor Azman juga berkata FAM juga akan mempertimbangkan cadangan sama ada akan membeli atau menyewa teknologi VAR itu dan perkara ini semua akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pengadil yang akan membuat penilaian.
Selain itu dia juga menegaskan FAM tidak akan terburu-buru untuk membuat keputusan mengenai penggunaan VAR kerana pelbagai kriteria perlu diambil kira terlebih dahulu.

Noor Azman ketika menjawab soalan daripada media.
“Memang kami dari peringkat Jawatankuasa Pengadil ada menerima taklimat dan juga pembentangan daripada dua penyedia VAR iaitu dari Hawk-eye dan MediaPro secara atas talian dan juga secara bersemuka. Perkara ini berada pada tahap perbincangan dari segi kos dan sebagainya.
“Buat masa sekarang ini kita mahu mengambil input-input terlebih dahulu tentang harganya, cara penggunaannya serta kesesuai lux lampu limpah dan juga stadium dan banyak kriteria yang perlu diambil kira dikaji terlebih dahulu.
Penggunaan VAR menjadi bualan penyokong bola sepak tempatan apabila ianya digunakan buat pertama kali di Malaysia apabila Stadium Nasional Bukit Jalil menggunakan teknologi VAR ketika perlawanan akhir Piala AFC 2022 pada 22 Oktober 2022.
Perkara ini juga turut hangat dibincangkan apabila Liga Perdana Singapura mengumumkan mereka akan menggunakan teknologi VAR bermula musim depan selain Liga Thailand yang sudah lama menggunakannya.
Setakat ini hanya dua stadium sahaja di Malaysia yang mempunyai kemudahan untuk mengendalikan VAR iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Sultan Ibrahim milik penuh kelab Johor Darul Ta’zim di Iskandar Puteri.
Dalam perkembangan lain, Noor Azman masih tidak dapat mengumumkan venue buat Harimau Malaya di Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric pada Disember dan masih memerlukan dua tiga hari sebelum membuat pengumuman rasmi.

Stadium Nasional Bukit Jalil
Namun begitu Stadium Nasional Bukit Jalil masih menjadi pilihan utama buat FAM sebagai ‘home of Harimau Malaya’ bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan serta dua perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF.