PRESIDEN Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa membuat kunjungan rasmi ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu.
Kunjungan tersebut disambut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif di Wisma FAM.
Pada pertemuan tersebut, Shaikh Salman mengadakan perbincangan meluas mengenai kemajuan bola sepak Malaysia bersama Hamidin dan kepimpinan FAM dengan tumpuan utama ialah persembahan mengagumkan pasukan kebangsaan Malaysia Harimau Malaya dan kelab JDT serta Kuala Lumpur City FC baru-baru ini, serta usaha yang dilakukan oleh badan induk bola sepak Malaysia ini.

“Di bawah kepimpinan Datuk Hamidin yang berkemampuan, FAM telah melabur dalam pembinaan kapasiti dan hasilnya cukup mengagumkan, ia jelas menunjukkan visi AFC untuk membangunkan sukan itu dalam Persatuan.
“Pasukan kebangsaan Malaysia akan bersaing dalam Piala Asia AFC 2023 selepas tempoh yang panjang dan ini adalah berita yang dialu-alukan untuk semua rakyat Malaysia yang meminati bola sepak.

“Keputusan menggembirakan juga apabila JDT mara ke Pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC 2022, dan sudah tentu Kuala Lumpur City FC, yang mara ke Final Piala AFC pada 2022.”
Presiden AFC juga turut menekankan kerjasama erat antara AFC dan FAM.
“FAM adalah salah satu ahli persatuan terkemuka dan kami menghargai penglibatan rapat yang menyaksikan FAM memanfaatkan banyak faedah yang disediakan oleh AFC melalui pembiayaan dan program pembangunan AFC,” tambah Shaikh Salman.
Sementara itu, Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden AFC atas sokongan berterusan AFC sambil menggariskan rancangan masa depan FAM untuk memajukan lagi sukan itu di seluruh negara melalui pelbagai projek. – AFC