SETIAP perlawanan di tempat lawan pasti ada cerita suka dan dukanya yang menjadikan setiap perjalanan ini kenangan yang bermakna buat para penyokong bola sepak tempatan terutama Ultras Malaya.
Perlawanan separuh akhir kedua Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Thailand di Stadium Thammasat, Bangkok juga menarik perhatian para penyokong ke Siam untuk sama-sama memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.
Ada yang hadir menerusi jalan darat dan ada yang menggunakan pengangkutan udara dari pelusuk negara dengan masing-masing mempunyai kisah menarik untuk diceritakan apabila pulang ke Malaysia.
Get Ready! 💪🔥🇲🇾#AFFCup2022 #UTLR #DemiMalaysia pic.twitter.com/jXYwnAfbY6
— UM’07 🇲🇾 (@ultrasmalaya07) January 10, 2023
Bagaimanapun sekumpulan kira-kira 50 Ekor Harimau Sejati mempunyai pengalaman ala The Amazing Race apabila pesawat mereka yang dijadualkan berlepas pada jam 12.25 tengah hari terpaksa ditunda selama empat jam kerana masalah teknikal pada pesawat.
Kecoh sebentar ruang perlepasan apabila jadual berlepas baharu disahkan pada jam 4.30 petang dan tiba di Bangkok pada jam 5.30 petang waktu tempatan sekaligus mengundang resah para penyokong kerana sepak mula perlawanan dijadualkan pada jam 7.30 malam.
Beberapa perbincangan dilakukan wakil penyokong dan kakitangan syarikat penerbangan untuk mendapatkan solusi terbaik buat semua yang terjejas akibat masalah operasi yang tidak dapat dielakkan.
Akhirnya syarikat penerbangan bersetuju untuk menaja dua bas dari lapangan terbang ke Stadium Thammasat dengan bantuan akan diberikan kepada penyokong sejurus tiba di Bangkok.
Ia sekaligus mengurangkan kebimbangan dan akhirnya pesawat lepas landas pada jam 4.45 petang dan para penyokong juga diberikan makanan dan minuman percuma sebagai pampasan kelewatan dari syarikat penerbangan.
Selepas dua jam perjalanan, pesawat mendarat selamat di Bangkok dan seperti dijanji, kakitangan syarikat penerbangan sudah menunggu dan memberikan para penyokong laluan khas di imigresen untuk mempercepatkan proses kemasukan ke Thailand.
Kemudiannya rombongan di bawa menaiki bas dan akhirnya semua selamat tiba di stadium kira-kira 30 minit sebelum perlawanan berlangsung dan semuanya gembira kerana adrenalin yang dirasakan sejak dari Kuala Lumpur sudah berakhir.
Namun begitu, pasukan negara tewas 0-3 dalam perlawanan itu dengan aggregat 1-3 sekaligus tidak layak ke final namun sebagai penyokong itu semua adalah lumrah dalam perlawanan bola sepak.
Terima kasih kepada semua penyokong yang tidak henti-henti memberikan sokongan sejak dari awal kejohanan dan syabas juga kepada syarikat penerbangan yang dilihat bertanggungjawab dan hingga menjadikan pengalaman ‘awaydays’ ini antara yang paling dramatik dan diingati.