BEREGU lelaki nombor enam dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, dalam aksi pusingan 16 terbaik hari ini.

Turun selaku pilihan keenam, Sze Fei-Izzuddin tidak mengambil masa lama untuk mengesahkan kemenangan apabila menundukkan Chiu-Wang 21-17, 21-17 dalam tempoh 42 minit.

Kejayaan itu turut menyaksikan pasangan negara kini mendahului rekod pertemuan mereka 2-1.

Sze Fei-Izzuddin tampil kemas sejak awal permainan apabila berjaya mengawal rentak perlawanan dan mengekalkan tekanan terhadap pasangan Taiwan itu.

Kemenangan straight games itu menjadi suntikan penting buat Sze Fei-Izzuddin dalam usaha mereka memburu cabaran lebih jauh pada kejohanan kali ini.

Prestasi konsisten mereka juga terus meletakkan pasangan negara antara sandaran utama Malaysia dalam acara beregu lelaki.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila kemaraan mereka terhenti di pusingan 16 selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Pearly-Thinaah yang merupakan pilihan kelima terpaksa bekerja keras sebelum tewas dalam pertarungan tiga set 22-20, 18-21, 12-21 selepas beraksi selama satu jam 14 minit.

Dalam acara beregu campuran pula, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut terkandas apabila tewas kepada pasangan China, Cheng Xing-Zhang Chi, yang juga pilihan kelapan, 15-21, 12-21 dalam tempoh 34 minit.

Malam ini akan menyaksikan sama ada Sze Fei-Izzudin akan pergi ke suku akhir bersama Aaron Chia-Woo Yik ataupun Wei Chong-Kai Wun yang bakal berentap malam ini bagi merebut slot suku akhir.