KECEDERAAN belakang yang dialami Pearly Tan terus menjadi tamparan buat skuad wanita negara apabila pemain beregu utama itu disahkan tidak akan menyertai kempen Piala Uber 2026.
Ketiadaan Pearly bukan sahaja menjejaskan kekuatan pasukan, malah berpotensi memanjangkan lagi penantian Malaysia untuk mara ke peringkat kalah mati sejak kali terakhir melakukannya pada 2010.
Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky berkata keputusan tersebut dibuat selepas penilaian saat akhir terhadap tahap kecergasan pemain berkenaan.
“Pearly tidak berada pada tahap yang membolehkannya bersaing seperti yang diperlukan. Kami terpaksa membuat keputusan bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
Difahamkan, Pearly mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Horsens, sekali gus memaksa barisan kejurulatihan mengambil pendekatan berhati-hati menjelang kejohanan berpasukan itu.
Ketiadaan Pearly turut dirasai oleh pemain itu sendiri yang meluahkan kekecewaan menerusi media sosial.
“Hati saya sangat berat untuk mengumumkan bahawa saya tidak dapat menyertai Piala Uber kali ini,” katanya.
Situasi ini jelas memberi cabaran besar buat kem negara, namun dalam masa sama membuka ruang kepada pemain pelapis untuk tampil memikul tanggungjawab dan membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.