TIDAK wujud unsur ketirisan berhubung penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA menemukan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh (gambar) berkata, pihaknya telah menjangkakan sambutan hangat oleh penonton mengambil kira kehadiran di peringkat suku akhir dan separuh akhir.

Menurutnya adalah menjadi cabaran buat TFC memuaskan hati semua pihak dengan penjualan tiket secara dalam talian merupakan kaedah terbaik kepada penyokong setia Sang Penyu.

“Sebanyak 15,000 tiket telah diperuntukkan kepada pemegang kad keahlian TFC, pas bermusim dan pemilik tiket Liga Super bertemu Sarawak United yang boleh membeli tiket final Piala FA lebih awal.

“Ianya adalah hasil perbincangan pihak pengurusan kelab bagi memastikan peminat tegar yang hadir ke stadium selama ini dapat turut serta menyaksikan perlawanan akhir.

“Sokongan padu diberikan semua penyokong amat dihargai dan kami berharap TFC dapat pulang dengan kejayaan setelah kali terakhir menjulang Piala FA, 11 tahun lalu,” katanya.

Tular di media sosial sejak kelmarin oleh segelintir penyokong TFC yang mendakwa gagal membeli tiket selain terdapat ‘pakej’ RM500 seorang bagi caj sewaan bas dan tiket final Piala FA.

TFC sebelum ini membuka pembelian tiket bertemu JDT kepada pemegang kad keahlian kelab dan pas bermusim bermula 28 sehingga 30 Ogos berbanding penyokong biasa iaitu 31 Ogos.