JURUCAKAP ganusoccer.net, Bisharuzi Omar yakin Terengganu FC mampu membenam cabaran pasukan dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim dalam aksi akhir Piala FA 2022 Sabtu ini.

Menurutnya, jika pemain dapat mengikut arahan jurulatih pasukan Sang Penyu, dia yakin Terengganu FC mampu membawa pulang piala tersebut setelah lebih 10 tahun kecewa dalam saingan Piala FA.

Tambah Bisharuzi, penyokong bakal hadir dari segenap pelosok negeri Terengganu kerana mereka begitu dahagakan kejayaan buat kali ketiga dari negeri pantai timur itu.

Biarpun begitu, dia menyeru penyokong kedua-dua pasukan agar menjaga tingkahlaku masing-masing dan mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain supaya tidak mencemarkan imej bola sepak negara di mata dunia.

“Harapan saya selaku penyokong Pasukan Bolasepak Terengganu mengharapkan untuk final Piala FA 2022. Dengan prestasi semasa dan pemain yang ada sekarang, pasukan TFC mampu bersaing mengalahkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

“Jika semua pemain dapat mengikut arahan daripada jurulatih Nafuzi Zain untuk mengekalkan prestasi, saya percaya pasukan TFC mampu mengalahkan pasukan JDT.

“Sudah lama pasukan Terengganu tidak menjuarai Piala FA. Kali terakhir pada 2011 dengan mengalahkan pasukan Kelantan dengan kebangkitan yang cukup baik.

“Kami datang dari pelbagai lokaliti, dari bumi Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Kuala Berang, Dungun dan Kemaman) tidak termasuk penyokong dari luar negeri Terengganu seperti Kedah, Perlis, Kuantan dan paling banyak dari Lembah Klang.

“Kami akan berikan sokongan yang terbaik walaupun di tiupan wisel yang terakhir untuk menaikkan moral dan semangat pasukan Terengganu FC.

“Saya harap kedua-dua penyokong menunjukkan sokongan dan tatasusila yang baik serta tidak mencetuskan suasana huru-hara untuk menjadikan perlawanan lebih menarik dan rancak untuk disaksikan oleh semua penyokong di stadium dan di kaca televisyen.

“Kami hendak perlawanan dilaksana dengan baik dan mampu menghiburkan semua penyokong. Semangat penyokong Malaysia dan banyak pasukan Malaysia datang daripada pasukan JDT dan TFC dalam persiapan untuk Piala AFF,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, anak jati Terengganu yang berusia 47 tahun itu pernah menyandang jawatan Pengarah Kejohanan Futsal e-fan Liga Malaysia dan Media.