PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor menyatakan dia tidak faham mengapa insiden khianat yang menimpa Faisal Halim dikaitkam dengan dirinya kerana dia tidak pernah menganggap pemain kebangsaan itu sebagai ancaman buat diri dan kelabnya.

Tunku Ismail turut menyatakan bahawa Faisal adalah seorang individu yang baik dan dia tidak gembira dan menentang keras dengan perkara yang berlaku kepada pemain Selangor FC itu.

“Pertama sekali Faisal adalah orang yang baik dan dia bukan ancaman kepada kami. Saya pun tidak tahu macam mana boleh timbul persepsi atau teori konspirasi yang melibatkannya dengan saya.

“Pada saya benda ini tidak betul dan semakin banyak saya baca saya rasa kelakar seolah-olah saya tidak ada kerja lain dan semuanya yang berlaku kepada pasukan Selangor menjadi salah saya,” katanya ketika sesi podcast Meh Dengo Jap di Karnival Orang Muda Johor di Educity, Iskandar Puteri pada Ahad.

Tunku Mahkota Ismail ketika podcast Meh Dengo Jap di Karvival Orang Muda Johor (kredit foto: HRH Crown Prince of Johor)

Pemangku Sultan Johor itu juga menegur tindakan sesetengah penyokong Selangor yang menyatakan dirinya adalah ‘mastermind‘ atau dalang dalam kes Faisal Halim ini kerana secara rasionalnya dirinya dan JDT tidak mendapat sebarang manfaat dari perbuatan ini.

“Tidak mungkin orang Selangor tidak boleh berfikir dengan cara rasional saya nak habiskan Faisal Halim buat apa. Kami JDT lawan Selangor tahun lepas, 4-0, 4-0, 2-0 dan dia bermain dalam skuad itu.

Jadi Faisal Halim bukanlah ancaman buat saya dan dia adalah pemain yang baik, bermain untuk pasukan kebangsaan dan dia seorang yang peramah tetapi kita tidak tahu kehidupan peribadinya,” jelasnya.

Tunku Mahkota Ismail ketika podcast Meh Dengo Jap di Karvival Orang Muda Johor (kredit foto: HRH Crown Prince of Johor)

Tunku Ismail sekali lagi mengutuk keras insiden ini seperti apa yang dilakukannya sejurus selepas kejadian dan dia menganggap pelaku sebagai seorang yang pengecut dan masih tidak faham apa agenda sebenar yang diinginkan.

Insiden yang berlaku itu menyebabkan aksi Piala Sumbangsih yang juga perlawanan pertama Liga Super musim 2024-25 terpaksa dibatalkan ekoran penarikan diri Selangor FC dan memberikan kemenangan percuma buat JDT yang diputuskan oleh Malaysian Football League (MFL).