SKUAD Malaysia Bawah 23 (B-23) tiada pilihan lain selain mencatat kemenangan ke atas Brunei dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN 2025, jika mahu meneruskan saingan ke separuh akhir kejohanan yang sedang berlangsung di Jakarta.

Skuad muda negara perlu bangkit segera selepas kekalahan mengejut 0-2 kepada Filipina, yang menyaksikan barisan pertahanan longgar dan barisan hadapan tumpul dalam mencipta jaringan. Lawan mereka esok, Brunei B-23, juga membawa tekanan tersendiri selepas dibelasah 0-8 oleh tuan rumah Indonesia dalam aksi pembukaan.

Meskipun Brunei dilihat sebagai pasukan paling lemah dalam kumpulan, kapten pasukan Malaysia B-23, Muhammad Ubaidullah Shamsul, mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah lawan, dan menuntut perubahan drastik dalam corak permainan.

“Peluang ke separuh akhir masih terbuka, cuma nak tak nak kami perlu menang baki dua game ini. Kami pilih jalan yang struggle, selagi mana kami percaya peluang itu masih ada,” katanya.

Menariknya, ramai pemain dalam skuad kali ini merupakan anggota pasukan Malaysia B-19 yang menjuarai Kejohanan AFF 2022 di Indonesia — termasuk menewaskan Brunei 11-0 di peringkat kumpulan ketika itu. Kenangan manis itu menjadi pembakar semangat untuk mengulangi kejayaan yang sama, tetapi kali ini di pentas lebih tinggi.

Barisan kejurulatihan dikatakan bakal melakukan perubahan dalam kesebelasan utama bagi meningkatkan intensiti serangan dan kestabilan pertahanan. Pemain seperti Fergus Tierney dijangka terus diberi peranan utama selepas terlepas beberapa peluang keemasan dalam aksi pertama.

Kemenangan ke atas Brunei bukan sahaja penting untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir, malah akan mengembalikan keyakinan Harimau Muda menjelang aksi terakhir bertemu tuan rumah Indonesia — sebuah perlawanan yang dijangka menjadi penentu nasib mereka dalam kejohanan ini.

Segala-galanya kini bergantung kepada semangat juang, fokus taktikal dan disiplin pasukan. Harimau Muda sudah tiada ruang untuk kesilapan — dan esok adalah peluang terbaik untuk bangkit semula.