PERTANDINGAN akhir Piala Super Turki antara pasukan Galatasaray dan Fenerbahce telah dibatalkan.
Kedua-dua pihak dilaporkan enggan bermain, menyebabkan perlawanan ditangguhkan pada minit terakhir.
Menurut laporan di Turki, kedua-dua pasukan tidak hadir ke stadium sebelum perlawanan.
Difahamkan, kedua-dua pasukan enggan memasuki padang selepas kain rentang Ataturk dan baju diharamkan.
Laporan turut menambah bahawa para pemain enggan meninggalkan hotel mereka atas pertelingkahan dengan tuan rumah, Arab Saudi.
Perlawanan itu sepatutnya berlangsung di Stadium Al-Awwal di Riyadh.
Dalam satu kenyataan bersama, kelab dan Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) berkata: “Bagi meraikan ulang tahun ke-100 republik kami dan Persekutuan Bola Sepak Turki di luar negara, kami menganjurkan dengan kelab kami dengan cara yang akan menyumbang kepada nilai jenama Bola Sepak Turki dan kelab kami.”
“Pertandingan Piala Super 2023, yang dirancang untuk berlangsung pada hari Jumaat 29 Disember 2023, jam 20.45, telah ditunda ke tarikh lain sebagai keputusan bersama yang kami buat bersama kelab kami, disebabkan oleh beberapa gangguan dalam organisasi.”
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Persekutuan Bola Sepak dan institusi dan organisasi berkaitan negara tuan rumah atas usaha yang mereka lakukan setakat ini dalam penganjuran Piala Super,” tambah mereka.
Galatasaray telah menempah tempat mereka di final selepas memenangi gelaran liga ke-23 mereka musim lalu.
Sementara itu, Fenerbahce telah disahkan sebagai saingan mereka selepas menjuarai Piala Turki awal tahun ini.
Pembatalan perlawanan akhir Piala Super itu berlaku selepas semua perlawanan di Turki ditangguhkan awal bulan ini.
Keputusan itu diambil selepas seorang pengadil telah dipukul oleh presiden kelab pada akhir pertembungan Liga Super.
Bola sepak domestik kemudian disambung semula sebelum cuti musim sejuk liga teratas, bermula selepas hari perlawanan ke-18 pada awal minggu ini.