KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menegaskan bahawa isu latar belakang keturunan pemain berdarah Malaysia yang dibangkitkan di media sosial tidak sedikit pun mengganggu fokus pasukan menjelang aksi penting menentang Vietnam pada Selasa malam.

Menurut Clamovski, walaupun topik mengenai pemain naturalisasi baharu seperti Facundo Garces, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Jon Irazabal dan Imanol Machuca hangat diperkatakan dalam ruang maya, fokus skuad negara kekal utuh dengan misi utama untuk meraih tiga mata di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Ia tidak ganggu kami secara dalaman. Kami sudah lakukan persiapan yang baik. Pemain-pemain baharu ini datang dari luar negara, tetapi mereka adalah rakyat Malaysia dan mereka datang dengan rasa bangga,” katanya pada sidang media pra perlawanan hari ini.

“Setiap kali mereka turun berlatih, anda boleh lihat semangat dan kesungguhan mereka. Kami membina suasana kekeluargaan dalam pasukan ini, dan kami tak sabar untuk mempersembahkannya esok malam.”

Clamovski turut menambah bahawa segala perbincangan dan spekulasi luar padang itu lebih kepada hiburan buat penyokong dan pengikut media sosial, bukan ancaman terhadap tumpuan pasukannya.

“Itu semua mungkin lebih kepada gangguan buat anda semua di luar yang seronok berbual mengenainya. Tapi bagi kami, kami fokus. Fokus untuk menjadi pasukan yang kuat dan itu yang kami lakukan setiap hari,” tegasnya.

Malaysia akan melayani kunjungan Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 pada jam 9 malam esok dengan misi untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Nepal 2-0 Mac lalu.