FORMULA 1 telah mengesahkan dua lagi musim dokumentari ‘Drive to Survive‘ di Netflix akan diterbitkan. Penggambaran untuk musim kelima yang bakal ditayangkan pada 2023 sudah pun bermula.
Pengumuman itu dilakukan menjelang Grand Prix pertama di Miami, Amerika Syarikat dengan ianya adalah buat julung kali F1 mengesahkan produksi lebih dari semusim buat Netflix.
‘Drive to Survive‘ mula disiarkan pada 2019 dan telah diberi kredit sebagai antara penyumbang utama peningkatan populariti Formula Satu terutama di Amerika Syarikat.
Kini Amerika Syarikat mempunyai dua perlumbaan dengan Grand Prix Miami yang berlangsung hujung minggu ini membuat debut sebelum Grand Prix Las Vegas mengambil tempat dalam kalendar F1 musim hadapan.
Musim keempat ‘Drive to Survive‘, yang ditayangkan awal tahun ini telah menarik perhatian penonton tertinggi menurut F1. Siri ini diletakkan sebagai antara 10 siri paling ramai ditonton di 56 buah negara berbeza.
Bagaimanapun, siri ini mengundang beberapa reaksi negatif daripada para pelumba. Juara dunia, Max Verstappen tidak lagi mahu menyertai siri ini dengan menuduh rancangan ini mewujudkan isu perseteruan antara pemandu yang tidak wujud dalam Formula Satu.
CEO F1, Stefano Domenicali berkata beliau akan menggalakkan para pelumba untuk mengambil bahagian dalam siri ini di masa hadapan bagi memberikan kepada penonton apa yang berlaku di belakang tabir pada setiap perlumbaan.
Grand Prix Miami pertama minggu ini bakal berlangsung di Litar Miami Autrodrome sepanjang 5.41 kilometer yang dibina khas disekeliling Stadium Hard Rock pastinya dinanti-nantikan peminat Formula Satu di Amerika Syarikat dan juga di seluruh dunia.