PELAN permainan yang dirancang tidak menjadi mengundang padah buat gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Denmark di Odense, malam tadi (Rabu).
Beregu nombor dua dunia itu gagal menemui rentak sejak awal permainan terpaksa akur tunduk 17-21, 13-21 kepada pasangan Indonesia, Rian Ardianto-Rahmat Hidayat dalam tempoh 33 minit.
Aaron mengakui segala strategi yang disusun sebelum perlawanan langsung tidak menjadi selain banyak melakukan kesilapan sendiri yang memberi ruang kepada lawan menguasai gelanggang.
“Kami buat terlalu banyak unforced errors dan game plan kami tak menjadi langsung, itu punca utama kekalahan hari ini,” katanya kecewa.
Wooi Yik turut senada, mengakui mereka sudah memberikan segalanya namun gagal menampilkan prestasi terbaik seperti minggu lalu di Terbuka Arctic di Finland.
“Kami masuk gelanggang nak beri yang terbaik, tapi memang tak menjadi… hari ini bukan hari kami,” ujarnya ringkas.
Kekalahan mengejut itu hadir hanya seminggu selepas aksi sengit di final Terbuka Finland, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap fizikal dan fokus mereka.
Ironinya, kekalahan itu pasti memberi tonik kepada Rian yang berpasangan dengan Rahmat buat kali pertama di pentas antarabangsa.