KEJAYAAN muncul juara Terbuka Macau 2025 memberi kepuasan berganda buat Wan Arif Junaidi-Yap Roy King selepas menewaskan pilihan utama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 22-20, 21-18, sekali gus menamatkan penantian panjang untuk menjulang kejuaraan.

Kemenangan itu membolehkan mereka membalas dendam kekalahan di final Masters Sepanyol Mac tahun lalu.

“Saya puas hati sangat sebab lama dah tunggu gelaran, dan ini pula dapat balas dendam sebab sebelum ni kita kalah dengan pasangan sama, jadi kali ni memang rasa puas sangat,” kata Arif.

Mengulas cabaran di perlawanan akhir, Arif berkata, keadaan gelanggang yang berangin menyukarkan fokus namun dia berjaya menenangkan fikiran untuk terus kekal konsisten di setiap mata.

“Masa ada situasi smash tu, saya mula-mula terganggu juga fikiran nak main… tapi saya cakap dalam diri saya, kalau saya koyak, opponent pun mesti rasa benda sama, jadi just fokus satu persatu,” ujarnya.

Arif menjelaskan kelebihan mereka kali ini adalah hasil analisis teliti jurulatih Herry Iman Pierngadi, terhadap corak permainan lawan yang memberi kelebihan dari segi servis dan penerimaan pukulan.

“Kita tahu game plan mereka sebab pernah jumpa sebelum ni, dan nasib baik ada coach Herry yang study video dan ingatkan kita, jadi kita dapat advantage dari segi servis receiving,” katanya gembira, apabila mendapat bimbingan Herry di belakang gelanggang buat kali pertama.