JUARA empat kejohanan major, Brooks Koepka akhirnya meraih kejuaraan pertama sejak Februari 2021, selepas memenangi perlawanan playoff pada Golf Jemputan LIV di Jeddah.
Pemain kelahiran Amerika Syarikan (AS) berusia 32 tahun itu, menewaskan Peter Uihlein pada tiga lubang tambahan selepas kedua-dua terikat 12 bawah par, selepas permainan 54 lubang, di Arab Saudi.
Koepka sebelum ini bergelut dengan siri kecederaan beberapa tahun kebelakangan ini.
“Dua tahun kebelakangan ini tidak menyeronokkan. Sangat jauh perjalanan saya untuk sampai ke sini dan saya sangat teruja.
“Sampaikan saya fikir kerjaya saya dalam golf hampir berakhir. Kemenangan ini hadir tepat pada masanya,” katanya kepada LIV Golf.
An emotional win for @BKoepka 🏆#LIVGolf #LIVGolfJeddah pic.twitter.com/IUes22ss3l
— LIV Golf (@LIVGolfInv) October 16, 2022
Kejohanan di Jeddah itu adalah yang terakhir untuk saingan individu pada tahun pertama LIV Golf, dan saingan musim ini akan berakhir dengan acara berpasukan yang bakal dilangsungkan di Miami, sekitar 28 hingga 30 Oktober ini.
Sebanyak 12 pasukan akan bersaing pada acara itu merebut hadiah wang tunai AS$50 juta (RM235.8 juta).
Sementara itu, pada perlawanan playoff terbabit, Koepka dan rakan senegaranya, Uihlein terlibat dalam pertarungan empat penjuru, namun kedua-dua mereka mencatat birdie pada lubang ke-18, sekali gus mendahului Sergio Garcia dan Joaquin Niemann, satu pukulan di belakang.

Peter Uihlein.
Pada playoff ketiga, Uihlein gagal membuat agakan baik apabila pukulannya memasuki bunker sebelum sebelum pukulan seterusnya menyebabkan bola jatuh ke dalam air, sekali gus memberi laluan kepada Koepka memenangi perlawanan dengan kelebihan dua pukulan.
Awal minggu ini, juara dua kejohanan major, Dustin Johnson dinobat selaku pemenang sulung keseluruhan kejohanan LIV Golf dan pemain itu menerima AS$18 juta (RM84.88 juta) sebagai hadiah kemenangan.
Sumber: BBC.com