Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui peluang pasukannya dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin sukar selepas seri 3-3 menentang Everton, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan City kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Arsenal, walaupun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan.

Guardiola mengakui situasi kini tidak lagi berpihak kepada pasukannya berbanding sebelum ini, ketika mereka masih mampu menentukan nasib sendiri dalam perlumbaan kejuaraan.

Dalam aksi di Stadium Hill Dickinson itu, City terpaksa bangkit untuk mengelak kekalahan sebelum Jeremy Doku menjaringkan gol penyamaan dramatik pada masa kecederaan, sekali gus melengkapkan dua gol peribadinya.

Erling Haaland sebelum itu turut mencetak gol pada lewat permainan, namun City tetap gagal mempertahankan kelebihan ketika Everton memberikan tentangan sengit.

Walaupun kecewa gagal meraih kemenangan, Guardiola menyifatkan keputusan seri itu lebih baik daripada pulang tanpa sebarang mata.

Sementara itu, Doku menegaskan pasukan masih belum berputus asa, manakala Haaland turut menunjukkan keyakinan bahawa City masih mampu memberi cabaran dalam baki perlawanan musim ini.

City dijadual menentang Brentford, Crystal Palace, Bournemouth dan Aston Villa selepas ini, sambil mengharapkan Arsenal tercicir mata dalam usaha menghidupkan peluang memburu gelaran liga.

Sumber Gambar: FB Manchester City