DIAM-DIAM ubi berisi apabila, Negeri Sembilan FC (NSFC) bakal mempunyai pusat latihan sendiri yang lengkap pada musim hadapan sekali gus dilihat bakal memberikan banyak kelebihan buat para pemain untuk meningkatkan prestasi.
Apa tidaknya, perkara ini menyaksikan pihak pengurusan NSFC sudah melupakan musim ini dan mulai fokus kepada pembangunan pasukan untuk musim hadapan dengan misi yang jelas serta kedudukan kewangan yang lebih kuat.
Malah, pasukan itu dilihat sudah mula melakukan persiapan awal untuk mengharungi musim 2025-2026 dengan dikhabarkan bakal mendapat sentuhan bekas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil.
Musim 2024-25 bukanlah musim yang baik buat skuad Jang apabila bergelut dengan prestasi yang menyaksikan mereka hanya mengumpul sembilan mata hasil dua kemenangan dan tiga keputusan seri selepas berakhir 18 perlawanan.

Mungkinkah skuad The Jangs akan dilatih Nidzam Jamil musim 2025-2026 ?
Sumber FLASH SUKAN di Seremban juga mengesahkan bahawa khidmat Nidzam Jamil mungkin diperlukan di Paroi musim hadapan dengan perbincangan awal sudah pun dilakukan antara kedua-dua pihak.
Nidzam juga telah dilihat menghadiri perlawanan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman sekali gus meningkatkan lagi kebarangkalian pengendali asal Kajang itu untuk kembali ke kerusi ketua jurulatih.
Perkara ini pastinya disambut baik oleh para penyokong NSFC yang sudah tentu mahu kembali melihat pasukan mereka kembali mencabar kedudukan liga dan bukannya bergelut di dasar liga dengan kehadiran penyokong yang sangat menyedihkan.
ARTIKEL BERKAITAN : Nidzam Jamil sertai Negeri Sembilan FC?
Nidzam juga bukanlah asing di Paroi apabila dia pernah bermain bersama Negeri Sembilan Naza pada musin 2006-2007 dan dia dilihat calon yang sesuai untuk dibawa masuk sebagai ketua jurulatih yang baharu.
Pengurusan Negeri Sembilan juga giat mencari pemain-pemain baharu yang sesuai dengan corak permainan Nidzam dan ditambah dengan pusat latihan baharu, ianya dilihat hanya masa sahaja yang memisahkan tanda tangannya di atas kontrak baharu.