MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa muzium dan galeri pencapaian atlet negara atau Hall of Fame milik Majlis Olimpik Malaysia (MOM) wajib ditempatkan di KL Sports City, lokasi strategik yang menjadi tumpuan generasi muda setiap hujung minggu.
Beliau berkata, setiap kemasyhuran dan pencapaian atlet negara perlu ditatap masyarakat umum, bagi memastikan mereka sentiasa menghargai dan mengenang sumbangan masyarakat sukan.
“Saya pernah lawat pejabat lama MOM dan sangat kagum mereka mampu pamerkan kejayaan atlet kita dalam ruang yang sempit, tapi galeri seperti itu sepatutnya berada di sini, tempat anak muda berkumpul menunggu konsert bermula,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Olympic House, di Bukit Jalil.

Menurut Hannah, pembinaan bangunan baharu Olympic House merupakan impian yang menjadi kenyataan kerana ia memberi peluang generasi muda untuk mendekati sejarah dan kejayaan atlet Malaysia dalam suasana lebih terbuka dan interaktif.
Beliau turut meyakinkan Perdana Menteri bahawa setiap sen hasil keuntungan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), yang mencecah RM10 juta setahun, disalurkan kembali untuk menaik taraf fasiliti sukan demi manfaat atlet negara.
“Dari hasil itu, Stadium Putra telah dinaik taraf dan kini menjadi gelanggang hoki dalam dewan dan pertandingan lompat tali, manakala Axiata Arena telah menyaksikan lebih 1,500 pelajar sekolah berkumpul dalam program sukan,” jelasnya lagi.
“Saya harap dengan adanya bangunan cantik ini, MOM akan perkemas tadbir urus, beri ruang kepada bakat muda untuk memimpin dan bersama berganding bahu dengan kerajaan serta atlet demi membawa Malaysia lebih jauh,” katanya.