PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah bertemu pengadil kebangsaan, Muhammad Nazmi Nasaruddin serta dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid di Doha, Qatar, pada malam Sabtu.

Ketiga-tiga Pengadil FIFA tersebut merupakan di antara 35 pengadil dan 39 penolong pengadil yang terpilih untuk mengadili perlawanan di sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Hamidin menggesa Nazmi dan dua penolongnya itu supaya menampilkan prestasi terbaik di Piala Asia 2023 ini bagi memastikan nama mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dilantik bertugas pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

“Sudah tentu harapan peminat dan penyokong mahu melihat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon tampil cemerlang di Piala Asia 2023 di Qatar ini. Tapi mereka juga mahu melihat set pengadil dari Malaysia – Nazmi, Zairul dan Arif terpilih ke Piala Dunia 2026.

“Jadikan pentas Piala Asia 2023 ini sebagai medan terbaik untuk anda bertiga terpilih dalam kalangan 10 set pengadil dari Asia layak ke Piala Dunia 2026 yang mana peluang untuk mencipta sejarah pengadil Malaysia mengadili perlawanan Piala Dunia lebih cerah kerana penyertaan 48 pasukan buat kali pertama.

“Saya pasti anda bertiga sudah membuat persiapan secukupnya dan kekal fokus di sepanjang Piala Asia 2023 ini. Perlu bekerja keras dan mengadili perlawanan sebaik mungkin. Kami mendoakan supaya set pengadil dari Malaysia ini terpilih ke Piala Dunia 2026,” kata Hamidin dalam satu kenyataan media.

Selain Nazmi, Zairul dan Arif, turut bertugas pada Piala Asia 2023 di Qatar ini ialah Pengurus Pembangunan Pengadil & Pengadil Profesional FAM, C. Ravichandran yang hadir sama pada pertemuan dengan Datuk Haji Hamidin itu.