DEDIKASI lebih tiga dekad dalam memperkasa bola sepak Malaysia akhirnya mendapat pengiktirafan tertinggi apabila Tan Sri Hamidin Mohd Amin diumum sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan sempena Anugerah SAM-100PLUS 2024.

Figura penting dalam bola sepak tanah air itu dianggap bukan sekadar pentadbir, malah arkitek utama di sebalik kebangkitan semula Harimau Malaya di pentas antarabangsa — termasuk kejayaan layak ke Piala Asia 2023 secara merit selepas kemarau 43 tahun.

Segalanya bermula pada 1995 apabila beliau dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), sebelum dinaikkan ke jawatan Setiausaha Agung. Dalam 15 tahun perkhidmatannya di FAS, Gergasi Merah meraih 18 trofi — era kegemilangan yang kekal terpahat dalam sejarah bola tempatan.

Pada 2018, Hamidin menggalas amanah sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan melancarkan pelbagai inisiatif transformasi termasuk projek pemain naturalisasi dan warisan — yang kini menjadi tunjang kekuatan skuad negara di bawah kendalian Peter Cklamovski.

Beliau juga mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024, menjadikannya presiden FAM pertama yang diberi kepercayaan mengemudi kontinjen negara ke temasya sukan terbesar dunia.

Timbalan Presiden SAM, Izahar Atan menyifatkan pemilihan Hamidin sebagai tepat dan wajar berdasarkan visi jelas, keberanian membuat keputusan serta sumbangan besar terhadap pembangunan bola sepak negara secara holistik.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 bakal berlangsung pada 14 Julai di Sunway Resort, Petaling Jaya dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.