KEJOHANAN Siri Asia 7s di Hangzhou, China pada 20 dan 21 September ini, bakal menjadi medan terakhir buat skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menguji kekuatan sebelum memburu pentas final di Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

Ketua jurulatih skuad Bunga Raya 7s, Nik Safuan Ismade Nik Man tidak berselindung menyatakan sasaran realistik skuadnya untuk ke final, sebelum memikirkan untuk menggenggam semula pingat emas yang kali terakhir diraih di Kuala Lumpur pada edisi 2017.

“Kalau ikutkan memang nak emas, tapi bagi saya kita kena masuk final dulu. Filipina antara halangan utama, jadi kita kena pastikan prestasi mantap sebelum ke sana (Thailand),” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, Siri Asia 7s kali ini amat penting buat barisan pemain menilai tahap prestasi masing-masing, selain menjadi platform membina keserasian dan ketahanan pasukan apabila turun berdepan lawan terbaik benua.

Nik Safuan Ismade yakin kemampuan anak buahnya.

“Memang masa persiapan kita agak pendek, tapi itu bukan alasan. Saya perlu pastikan pasukan ini jadi lebih kuat di Hangzhou dan bersedia untuk lawan negara-negara top di Sukan SEA nanti,” katanya.

Buat masa ini, pasukan negara belum berkumpul sepenuhnya apabila sesi latihan dilaksanakan secara ‘remote’ dengan setiap pemain diberikan pelan dan jadual latihan khusus yang wajib dilaporkan tiga kali seminggu kepada jurulatih.

“Walaupun tak berada di satu tempat yang sama, kita masih pantau rapat pemain. Malah, setiap dua bulan kita buat ujian kecergasan untuk pastikan semua dalam keadaan bersedia,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Malaysia mencipta sejarah apabila meraih emas pertama dalam acara ragbi 7s lelaki ketika menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017, namun terpaksa akur kehilangan takhta kepada Filipina pada edisi 2019. Selepas dua edisi di Vietnam dan Kemboja, tidak mempertandingkan acara itu, Bunga Raya 7s kini bertekad membawa semula kilauan emas ke tanah air, kali ini dari bumi Thailand.