BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah menamatkan badi 19 tahun Malaysia tanpa wakil di separuh akhir Seluruh England selepas melakar kemenangan bergaya ke atas pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Melysa Trias Puspitasari, 21-9, 21-18 dalam tempoh 43 minit di suku akhir.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan mereka muncul beregu wanita Malaysia pertama mara ke separuh akhir sejak gandingan Wong Pei Tty-Chin Ee Hui melakukannya pada edisi 2007.
Thinaah mengakui pencapaian itu memberi kelegaan besar buat mereka selepas beberapa kali sekadar terkandas di peringkat suku akhir sebelum ini.
“Saya rasa ia satu kelegaan besar kerana sebelum ini kami sering sampai suku akhir sahaja dan terasa seperti ‘so near yet so far’, jadi kejayaan ini memang sangat menggembirakan,” kata Thinaah krpada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Namun pemain berusia 27 tahun itu menegaskan perjalanan mereka belum berakhir kerana fokus utama kini adalah untuk terus mara lebih jauh.
“Tetapi bagi saya ia tidak terhenti di sini kerana masih ada perlawanan lagi, jadi kami mahu kekal fokus, dapatkan pemulihan yang baik dan bersedia untuk esok,” katanya yang bakal berdepan beregu nombor empat dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan.
Pearly pula mengakui satu mata penting ketika kedudukan 16-16 pada set kedua memberi suntikan keyakinan besar kepada mereka untuk menamatkan perlawanan.
“Ia hanya reaksi spontan saya kerana saya mahu menutup ruang apabila menjangka mereka akan melakukan ‘smash’ ke arah saya dan saya sangat gembira kerana mata itu memberi keyakinan kepada kami,” katanya.
Dalam masa sama, Thinaah menegaskan sikap sentiasa mahu memperbaiki diri walaupun sedikit menjadi kunci peningkatan prestasi mereka di pentas besar.
Pertembungan separuh akhir menentang gandingan Korea Selatan itu dijangka sengit, selepas rekod pertemuan menunjukkan keputusan seimbang 3-3.