ATLET yang berpotensi membawa pulang pingat Sukan Olimpik Paris 2024 akan mendapat sokongan dan bantuan sewajarnya daripada kerajaan, tanpa mengira status sama ada pemain kebangsaan mahupun profesional.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, prospek pingat akan mendapat bantuan menerusi program persediaan baharu menjelang Olimpik Paris yang dikenali sebagai ‘Road to Gold’ akan diumumkan pihak kementerian dalam masa terdekat ini.

“Untuk persiapan Road to Gold, kita berjanji bagi pihak kerajaan, setiap pemain yang mempunyai peluang besar mendapatkan pingat di Sukan Olimpik, kita akan bantu dalam Jawatankuasa Road to Gold.

“Bentuk apa (bantuan dan sokongan), akan kita umumkan apabila kita sudah bersedia nanti,” kata Hannah, selepas mengadakan kunjungan ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), pada Jumaat.

Hannah Yeoh turut bertemu dengan barisan pemain badminton profesional yang menggalas tanggungjawab negara ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia, yang akan bermula 14-19 Februari di Dubai. Skuad negara akan bertolak ke Dubai esok.

Sebelum ini, Hannah mengadakan pertemuan bersama pemain badminton profesional negara termasuk Lee Zii Jia bagi mendengar keluhan dan cabaran dihadapi mereka.

“Saya bukan saja jumpa Lee Zii Jia, pemain profesional lain juga saya ada jumpa dan saya mendengar cabaran dan masalah dihadapi mereka tetapi masalah ini saya tak boleh putuskan seorang diri, kena berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara), BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Jadi saya memang suka stail sekarang ini, di mana kita adakan banyak perbincangan bersama. Ini bukan satu keputusan yang hanya seorang menteri boleh buat,” kata Hannah.

Sementara itu, dalam kunjungan sulungnya ke ABM, Hannah diberikan taklimat mengenai isu dihadapi dan antara yang dikenalpasti adalah mengenai kekurangan tempat latihan (infrastruktur) di akademi berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mendengar taklimat daripada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Saya diberikan taklimat oleh BAM dan difahamkan mereka kekurangan tempat latihan dan ini satu masalah yang perlu ditangani dan saya akan bawa balik perkara ini ke KBS untuk berbincang bersama Perbadanan Stadium untuk bagaimana mengatasi masalah ini.

“Kekurangan tempat untuk berlatih bermaksud pemain badminton kita, perlu menguruskan masa mereka dan urusan masa mereka itu mungkin tidak optimum dan tidak bagus untuk mereka.

“Saya akan selesaikan masalah kekurangan tempat latihan dengan secepat mungkin dan saya akan melihat perkara ini apabila saya diberikan kertas cara dan selepas mengadakan perbincangan dengan perbadanan stadium,” kata Hannah.