MENTERI Belia Dan Sukan,  Hannah Yeoh tidak mahu memandang negatif kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan hingga menjadikan temasya Sukan SEA Ke-32 di Kemboja sebagai temasya terburuk dalam sejarah pungutan pingat.

Selepas berakhir temasya, Malaysia sekadar memungut 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan dari 11 negara yang bertanding sekaligus mengundang kritikan banyak pihak.

Hannah yang ditemui ketika majlis pelancaran edisi kesembilan Liga Sepak Takraw 2022/23 (STL) menganggap ianya bukanlah kegagalan sebaliknya ianya adalah satu potensi yang baik buat Malaysia meraih pingat emas di masa akan datang tetapi ianya perlu mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

“Seperti yang anda tahu banyak berita mengatakan atlet-atlet dan kontinjen Malaysia sebagai gagal di temasya Sukan SEA Kemboja. Saya tidak melihat begitu. Yang saya tahu pingat perak ada potensi untuk pingat emas, pingat gangsa juga ada potensi untuk pingat emas bermakna dalam Sukan Sea yang akan datang sepak takraw boleh membawa pulang lapan pingat emas.

“Kita mesti berfikiran positif kerana dalam sukan pasti ada yang menang dan ada yang kalah. Kalau kita menerima kekalahan begitu sahaja, kita tidak akan memperbaiki diri kita. Jadi kita terima kritikan dan tambah baik prestasi kita dan saya percaya jika ada penambahbaikan dari segi infrastruktur dan fasiliti serta sokongan kepada atlet-atlet kita, mereka mampu berjaya,” katanya dalam ucapannya.

Sementara itu, STL edisi kesembilan yang bakal membuka tirai pada 26 Mei 2023 menyaksikan buat julung kalinya diadakan di lima venue berdasarkan permintaan yang meluas dari peminat sepak takraw tempatan dengan venue yang menjadi pilihan adalah Kuala Kangsar, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Iskandar Puteri.

Edisi kali ini juga merangkumi saingan STL Premier, STL Challenge Cup, STL Divisyen Satu dan STL Champions Cup dengan penyertaan 10 pasukan untuk berentap dalam STL Premier dan STL Divisyen Satu, manakala STL Champions Cup bakal menghimpunkan empat pasukan teratas dari STL Premier dan empat pasukan antarabangsa.