TIDAK dinafikan, prestasi yang diperagakan oleh skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di pentas Piala Asia B-23 Qatar lepas, begitu memberi tekanan buat peminat-peminat bola sepak Malaysia.

Selepas kekalahan berturut-turut dalam aksi saingan tersebut, dengan keputusan 0-2 kepada Uzbekistan, seterusnya 0-2 juga kepada Vietnam dan akhir sekali 1-2 kepada Kuwait, ia telah meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot Kumpulan D.

Perkara ini menambah kesedihan dan luka di jiwa peminat-peminat bola sepak yang mengharapkan satu keajaiban berlaku di Doha, Qatar buat skuad negara, namun perkara yang sama masih berulang dengan kemarau kemenangan oleh anak buah Juan Torres Garrido.

Barisan kesebelasan utama skuad B-23 kebangsaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh  ditemui ketika di Hotel Doubletree, Putrajaya memberikan pandangannya mengenai prestasi skuad B-23 baru-baru ini.

Menurut Hannah, pihaknya tidak mahu mengulas sebarang isu mengenai skuad Harimau Muda ini, sehingga post-mortem dijalankan oleh badan induk bola sepak, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya fikir FAM akan adakan post-mortem untuk melihat prestasi mereka, dan saya akan tunggu dan dengar daripada Datuk Hamidin (Mohd Amin) tentang hal ini.

“Saya rasa memang setiap kali kalau pasukan kita tidak menang, selalunya akan ada panggilan seperti orang ini letak jawatan, dan sebagainya. Harus diingatkan, setiap perlawanan itu, keputusan menang atau kalah adalah 50/50.

Hannah Yeoh mahu menunggu kata-kata perbincangan daripada Presiden FAM, Datuk Hamidin mengenai prestasi skuad B-23.

“Jadi, saya tidak mahu mendahului komen tentang ini tanpa mengetahui maklumat lanjut daripada pihak FAM yang mungkin akan melakukan satu post-mortem nanti,” kata Hannah.

Skuad B-23 negara telah pulang semula ke tanah air selepas tewas 1-2 kepada Kuwait dalam aksi akhir di Doha, Qatar.

Carta Kumpulan D Piala Asia B23 telah didahului oleh pasukan Uzbekitan dengan sembilan, diikuti dengan Vietnam (6), Kuwait (3) manakala Malaysia tanpa sebarang mata.