PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan tidak mahu lagi menganjurkan sebarang kejohanan antarabangsa di Malaysia selepas menerima Geran Padanan Sukan (GPS) yang disifatkan terlalu rendah dan tidak mencerminkan keperluan sebenar.
Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad meluahkan rasa kecewa apabila Makaf hanya diluluskan geran RM450,000 bagi Kejohanan WKF Karate 1-Series A Kuala Lumpur 2025 sedangkan kos penganjuran mencecah RM1.5 juta melibatkan penyertaan 1,200 atlet dari 82 negara.
Beliau menyifatkan jumlah itu tidak adil, lebih-lebih lagi apabila dua tahun lalu ketika Melaka menjadi tuan rumah Kejohanan Asia (AKF), Makaf menerima geran RM1 juta meskipun skala penganjuran lebih kecil berbanding kejohanan dunia.
Azmi mengakui beliau terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menampung hutang penganjuran dan menyifatkan layanan diterima sebagai tamparan besar buat karate, sukan yang konsisten menyumbang pingat di peringkat antarabangsa.

Selain kumite, skuad karate negara juga memiliki reputasi dalam acara kata.
Kekecewaan itu memaksa beliau menolak tawaran Persekutuan Karate Dunia (WKF) untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah kejohanan antarabangsa tahun depan walaupun ia seiring Tahun Melawat Malaysia 2026.
Artikel berkaitan:
Hannah kurang senang, mahu GPS karate dinilai semula
Tegasnya, penganjuran kejohanan bukan untuk bermegah, sebaliknya penting bagi mata ranking dunia dan pembangunan pegawai teknikal negara yang sering kali terlepas peluang kerana kurangnya sokongan penganjuran dalam negara.
Dalam masa sama, Azmi memberi jaminan kontrak ketua jurulatih negara, R. Sharmendran akan disambung, malah beliau sanggup membayar gaji atlet berkenaan menggunakan dana sendiri jika Majlis Sukan Negara (MSN) tidak meneruskannya.
Menjelang Sukan SEA Thailand 2025, Azmi menetapkan sasaran tiga pingat emas namun optimis jumlah itu mampu dilepasi berdasarkan prestasi semasa atlet negara yang semakin menyerlah dan matang di pentas antarabangsa.