Foto: Malaysia Sailing Team
PASUKAN Star Sailors League (SSL) Malaysia mensasarkan kedudukan dua teratas dalam kumpulan di pusingan kelayakan Piala Emas SSL bagi melayakkan diri ke pentas final yang berlangsung di Switzerland.
Malaysia diundi berada dalam Kumpulan Ke-7 bersama India dan Afrika Selatan dalam siri kelayakan pusingan kelima yang dijadualkan pada 14-17 Julai ini di Lake Neuchâtel.
Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke siri akhir, yang berlangsung pada penghujung Oktober di Bahrain.
Manakala pasukan Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Ukraine bakal berentap dalam saingan Kumpulan ke-8 kejohanan ini.
Pasukan SSL Malaysia yang digelar ‘The Monsoon’, terdiri daripada 11 atlet negara namun hanya sembilan terbaik akan mempamerkan aksi. Antara atlet-atlet yang terpilih adalah Khairulnizam Mohd Afendy (helmsman), Mohamad Faizal Norizan (tactician), Asri Azman (floater), Nuraisyah Jamil (mainsail trimmer), Ahmad Khairulhafiz Ahmad Khmbali (atlet simpanan), Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof (atlet simpanan), Ong Khong Shing (bowman), Ahmad Faizul Aswad Mohamed (grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (trimmer), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (offside trimmer) dan Mohd Azhar Sa’don Zubir (pitman).
Pemenang pingat perak berganda Sukan Asia Khairulnizam berkata, kru telah bekerja keras dalam persiapan untuk acara itu dan telah menjalani latihan di Pelabuhan Klang dan Langkawi.
“Kami menyasarkan tempat dua teratas dalam kumpulan kami kerana dari situ kami akan layak ke final tetapi dari segi persiapan, kebanyakan krew telah berlatih manakala saya sibuk dengan litar Olimpik.
“Kami semua bekerja keras dalam latihan dan juga bersaing dan kami telah menjalani satu persiapan terakhir di Hungary selama seminggu di mana kami fokus pada mengukuhkan ikatan kami sepasukan, kemudian kami akan gilap sedikit demi sedikit apa kekurangan yang ada sebelum siri kelayakan bermula. Semoga segala-galanya berjalan dengan sewajarnya,” jelasnya yang pernah merangkul dua pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa di Sukan Sea
Skuad SSL ini dibimbing oleh jurulatih berpengalaman Rizal Mahadi ini turut dibantu penasihat Laurie Jury manakala pengurus pasukan Nicky Te Ben Aun.
Untuk rekod, Piala Emas SSL akan menyaksikan penyertaan daripada 56 negara pelayaran terbaik di dunia. Malaysia berada di kedudukan ke-51 dunia.
Ia adalah acara khas yang dibenarkan oleh Pelayaran Dunia (Persekutuan Pelayaran Antarabangsa) dan berkonsepkan pertandingan bola sepak terbesar dunia, Piala Dunia FIFA dan bertujuan untuk menobatkan negara pelayaran terbaik di dunia.
Pada penghujung 2021, Piala Emas SSL mengadakan tiga acara ujian lapan-negara di Switzerland. Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Afrika Selatan dan Thailand. Malaysia juga menghuni posisi didepan pasukan-pasukan lain termasuk Perancis, Mexico, Ukraine, Turki dan Tahiti dalam acara ujian pertama pertandingan itu yang diadakan pada 13-19 September.
Setiap negara yang mengambil bahagian akan menghimpunkan atlet pelayaran terbaik mereka menjadi satu krew yang merangkumi lapan hingga 10 orang (had berat maksimum 730kilogram) dan akan bersaing dalam monohull berprestasi tinggi, sejenis reka bentuknya yang berukuran 47 kaki yang akan dibekalkan oleh pihak penganjur bagi memastikan kriteria-kriteria yang ditetapkan selaras dan tidak berlaku sebarang ketidakadilan atau kelebihan kepada mana-mana pihak.
Penaung pasukan SSL Malaysia ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Projek ini dijayakan dengan kolaborasi Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) dan kerjasama penaja utama Berjaya Corporation Berhad. Ia turut disokong oleh Royal Selangor Yacht Club, Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi Pure, Oakley Malaysia, Technogym Malaysia, System Consultancy Services Sdn Bhd dan penaja-penaja individu persendirian.