LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2025-2026 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini, jam 9 malam.

Aksi kemuncak edisi ke-99 itu dijangka mencuri perhatian apabila juara bertahan Johor Darul Ta’zim FC (JDT) bakal berdepan Kuching City FC yang mencipta sejarah mara ke final buat kali pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata pihaknya mengekalkan struktur harga tiket seperti edisi sebelum ini meskipun berdepan peningkatan kos penganjuran.

Empat kategori utama ditawarkan kepada penyokong, dengan tiket General Admission dijual pada harga RM50 dan RM70, manakala kategori Premium berharga RM150 serta VIP Grandstand ditetapkan pada RM200.

Menurut beliau, pengumuman awal harga tiket ini bertujuan memberi ruang kepada penyokong kedua-dua pasukan membuat perancangan lebih awal, khususnya bagi penyokong Kuching City yang bakal merasai pengalaman final buat kali pertama.

Dalam masa sama, urusan penjualan tiket akan dikendalikan sepenuhnya oleh kedua-dua pasukan finalis seperti amalan sebelum ini bagi memastikan pengagihan yang lebih teratur dan adil.

Penyokong disaran mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak JDT dan Kuching City FC untuk maklumat lanjut berkaitan kaedah pembelian tiket dalam masa terdekat.